Friday 18 December 2015

PRINSIP IQRA SEBAGAI PEMAJU TAMADUN

Prinsip Iqra sebagai Pemaju Tamadun



Dalam konsep asas Tamadun Islam amat mementingkan penghayatan ilmu. Masyarakat yang berilmu asas pembinaan tamadun. Budaya ‘iqra’ dalam Islam merupakan suatu kefardhuan yang mesti ada pada setiap muslim. Ilmu dikelaskankepada 2 bahagian;-

a) Naqli (wahyu) - membina asas tamadun berpandukan ketetapan Allah.
b) Naqli (kajian) - mekanisma yang ada didalam peradaban itu sesuai dengan fitrah semula jadi manusia. Masyarakat dan negara yang bersifat menyeluruh, berdasarkan kepada perspektif Tamadun Islam iaitu penguasaan ilmu ialah ilmu duniawi dan ukhrawi dan juga disebut Fardu Ain dan Fardu Kifayah. Kedua-dua Fardu Ain dan Fardu Kifayah adalah kewajipan dan keperluan kerana kita mesti melalui Alam Dunia dalam perjalan kita ke Alam Akhirat.

Allah berfirman dalam Surah Al Mujaadalah : maksudnya“.......Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat...”

Sabda Nabi Muhammad s.a.w dalam sebuah hadithnya mafhumya, Sesiapa yang mahukan kecemerlangan dunia hendaklah dengan ilmu, sesiapa yang mahukan kecemerlangan akhirat hendaklah dengan ilmu, sesiapa yang inginkan kedua-duanya sekali hendaklah dengan ilmu”.

Hadith ini dengan jelas menunjukkan perlunya keseimbangan antara ilmu dunia dan ilmu ukhrawi (Fardu Ain dengan Fardu Kifayah)

Surah yang awal diturunkan dalam bulan Ramadan terhubung dengan budaya iqra’ atau baca yang memberi makna penerokaan terhadap ilmu. Membangun budaya iqra’ bermaksud bagi manusia dengan potensi akliahnya membangun kekuatan berfikir sekali gus dengan potensi rohaniahnya membangun kekuatan iman dan ihsan terhadap Pencipta.
Ilmu adalah suluh bagi manusia. Ia tidak saja memperjelaskan proses ingin tahu manusia terhadap sesuatu tetapi ia juga memberi kefahaman terhadap sesuatu itu dan natijah akhirnya menerima makna akan sesuatu itu. Al-Quran memberi fokus kepada rijal sebagai aspek pembangunan yang paling utama bukan teknologi dan kebendaan. Rijal penting dibangunkan budaya iqra’ ini supaya ia memiliki kualiti ihsan dan insan agar pengurusan dan pembangunan terhadap sesuatu berlaku dalam kerangka amanah dan kesejahteraan untuk manusia.
Sebab itu, iqra dalam konteks al-Quran bukan sekadar harfiah sifatnya untuk maksud pahala semata-mata apabila dibaca, tetapi kandungan tekstual (kitab) itu perlu terhubung secara kontekstual (realiti) supaya pemahaman terhadap realiti hidup, sejarah dan budaya menyebabkan kehidupan manusia terbimbing dan terpedoman.
Al-Quran antara tekstual dan kontekstual
Al-Quran terkandung hikmah yang membimbing manusia terhadap kebijaksanaan. Pembangunan rijal dan sistem tidak saja dirujuk kepada nas, berlaku khulasah dan tafsir tetapi ia diolah dalam kerangka syariah dan fekah supaya sistem dapat diaturkan terus berada dalam acuan syariat.
Ia mampu menjana ilmu dan pemikiran, pendekatan dan strategi, masalahah dan yang aula atau lebih utama supaya umat Islam mampu merancang dengan bijaksana, tidak gopoh terhadap situasi, memiliki daya tawakal yang tinggi, bersyukur dengan apa yang diterima, berusaha untuk terus maju dan memiliki daya kompetensi tinggi dan akhirnya menemui al-falah atau kemenangan secara istiqamah dan bijaksana.
Al-Quran mencela kelompok mustakjilun atau gopoh dengan retorik yang mengapi-apikan emosi dan kehendak atau kelompok pelampau yang tidak memahami waqi’ atau realiti lebih-lebih lagi kelompok yang cetek dan tumpul pembacaannya terhadap senario yang ada dan akhirnya terjebak dalam kemelut inginkan perubahan tetapi tidak memiliki daya untuk mengisi perubahan itu sendiri.
Oleh itu, amat penting dilakukan perimbangan yang bijak supaya yang dikejar itu dapat dan yang dikendung itu tidak berciciran. Emosi dan kehendak yang tidak terkawal dan kegopohan melaksanakan hasrat dan cita-cita sering menimbulkan fitnah dan sengketa sesama umat.
Al-quran merintis pembangunan Tamadun
Bayangkan Ramadan yang dilalui sebagai sekolah rohhiyyah yang melatih daya kawal diri insan dan disiplin rohaniah yang tinggi, keupayaan mengawal lidah dan nafsu, menjadikan amal - buat contoh teladan yang menjadi sumber ikutan , para abid yang terpancar jiwa ihsan yang tinggi adalah gambaran warga muttaqeen yang mampu mencetuskan zaman dan keadaan ke arah perubahan.
Justeru Ramadan yang dilalui, binaan rohaniah yang dialami dan mengembalikan insan kepada acuan fitrah yang tinggi membolehkan adab dan peradaban lahir. Dunia dan kehidupan hari ini amat memerlukan warga umat yang tidak saja berilmu tetapi amat peka dengan kualiti kemanusiaan tinggi dan akhlak mulia supaya sistem dan negara dapat dibina berasaskan acuan yang fitrah.
Bila Rasulullah SAW mengungkapkan , Addabani rabbi faahsana taa,dibi - Yang Allah, didiklah aku dengan didikan yang terbaik ia menggambarkan betapa pentingnya adab diri diperkasa bersumberkan kekuatan hati yang kental dengan rohaniah yang mantap.
Adab yang membawa kepada disiplin diri (ketangkasan berfikir) dan disiplin hati (keupayaan rohaniah yang tinggi) dan disiplin amal (kehebatan amal sebagai contoh ikutan) bakal mencetuskan kehebatan sistem yang tidak saja menawarkan kesejahteraan kepada manusia tetapi kekentalan hubungan dengan Khaliq sebagai Pencipta dan sumber ke atas segala.
Seperti juga lahirnya tamadun Islam yang bertahan berabad-abad berakibat eratnya hubungan ulama dan umara’ seperti berlaku di zaman al-Makmun, al-Mansor, Harun Ar Rashid dan Omar Ab.Aziz yang dicatat oleh zaman sebagai penyumbang tamadun unggul yang seharusnya menjadi sumber reflektif yang tinggi terhadap warga umat yang terkemudian.
Ilmu di zaman itu amat integratif iaitu kesepaduan antara ilmu al-Quran dan akal yang melahirkan warga pendukung tamadun seperti Ibn Suyuti, Ibn Sina, al Khawarizmi, Ibn Khaldun, Imam al Ghazali , Abu Qasim Az Zahrawi dan lain-lain dan menghasilkan peta zaman yang terukir dengan ilmu-ilmu diniah yang tinggi dan memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang.
Lahirnya tradisi kecendekiawan dalam bentuk karya dan penyelidikan hingga menghasilkan kitab besar seperti Qanun ibn Sina, Ihya Ulumuddin Imam al Ghazali, al Muqaddimah Ibn Khaldun dan banyak lagi yang memberikan rintisan kajian dan keilmuan dan tersohor sepanjang zaman.
Sikap terbuka di kalangan ilmuan Islam mengambil faedah berbanding dari budaya dan tamadun lain yang bermanfaat dan dengan daya saring yang tinggi dan diletakkan tasawwur ilmu itu dalam acuan yang Islami. Ilmuan seperti al Biruni menjelajah ke India memanfaatkan ilmu berbanding dalam disiplin matematik, sains, astronomi menggunakan kekuatan bahasa Hind yang dipelajarinya dengan baik. Itulah lambang kehebatan silam yang sepatutnya menjadi sumber teladan pada masa kini.

No comments:

Post a Comment