Friday 23 October 2015

SOALAN PERBINCANGAN 1

Bagaimanakah anda dapat mengaitkan asal usul manusia dengan tamadun ?

Apabila Allah SWT hendak menjadikan manusia yang pertama di muka bumi ini, maka Allah SWT memberitahu kepada Malaikat bahawa Allah SWT akan menjadikan sejenis makhluk yang berlainan daripada Malaikat dan juga tidak sama dengan makhluk-makhlukNya yang lain yang ada pada masa itu. Makhluk yang dimaksudkan ialah manusia. Manusia akan menjadi khalifah di muka bumi untuk membangunkan dunia ini sebagai tempat menjalani kehidupan. Allah menjadikan Adam daripada tanah liat dengan rupa bentuk yang sempurna dan cantik. Setelah Adam hidup dengan jasmani(jasad), rohani, nafsu, akal dan hawa, maka sempurnalah sifat-sifat kemanusiaan pada manusia yang pertama iaitu Adam. Maka sempurnalah kejadian manusia yang pertama. Sesungguhnya manusia adalah sebaik-baik kejadian dan makhluk yang diciptakan oleh Tuhan. Oleh itu, matlamat sebenar kewujudan tamadun adalah untuk membina dan memperkukuh hubungan manusia. Tamadun dapat mewujudkan sikap-sikap positif yang sedia ada pada diri manusia seperti kerjasama, bertimbang rasa, bertanggungjawab dan sebagainya di samping menghargai hidupan lain di muka bumi.

PERANAN NABI DALAM MEMBINA TAMADUN
Bagi para sarjana Muslim Islam, tamadun bermula dengan pengutusan para nabi dan rasul. Pembentukan masyarakat bertamadun menurut acuan Pencipta manusia adalah tujuan utama perutusan mereka. Para nabi dan rasul diberi amanat untuk meluruskan jalan kehidupan manusia dan menjadikan manusia umat yang bertamadun. Masyarakat yang bertamadun adalah masyarakat yang memiliki seluruh tingkat kemajuan kehidupan yang meliputi aspek spiritual dan material. Islam telah membekalkan asas-asas yang kukuh dan sumber yang mantap untuk manusia membina tamadun.Dengan asuhan dan bimbingan Rasulluah s.a.w dan kemudiannya diteruskan oleh para sahabat , penduduk tanah arab yang terdiri daripada berbagai bangsa dan keturunan berjaya disatukan dengan ikatan akidah dan ukhuwah Islamiyah .Mereka muncul sebagai satu umat yang berakhlak dan sedia berkorban demi Islam.


PERKAITAN ADAB DAN TAMADUN
Adab merupakan satu tatacara atau garis panduan melakukan sesuatu. Sekiranya adab ini sentiasa di amalkan ia akan menjadi kebiasaan. Adab yang baik  merupakan tunggak kekuatan masyarakat  dalam sesuatu  tamadun. Jika sesuatu tamadun menekankan masyarakatnya supaya mangamalkan adab yang baik maka sudah pasti tamadun itu akan berjaya dan  pada masa yang sama tamadun itu akan dipandang tinggi oleh tamadun yang lain . Akan tetapi  adab yang diamalkan haruslah selari dengan konteks peradaban dalam islam . Hal ini kerana islam adalah antara agama yang berjaya melahirkan pemimpin yang beradab mulia , berilmu dan berdedikasi. Hal ini amat penting kerana dalam membina tamadun tamadun yang berjaya kerana pemimpin yang beradab  memainkan peranan yang amat penting dalam membimbing masyarakat dan menjalinkan hubungan luar dengan tamadun yang lain.


Apakah tujuan manusia membina tamadun?
Manusia membina tamadun adalah untuk melestarikan bumi seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada manusia.
Selain itu, tamadun juga berfungsi sebagai permulaan manusia untuk membentuk sebuah kehidupan yang lebih sistematik dan terancang.
Kehidupan bertamadun dapat memudahkan kerja manusia dengan adanya sistem berorganisasi, pengkhususan kerja, sistem kepercayaan dan keagamaan.
Kehidupan bertamadun juga membawa kepada kemajuan kepada manusia. Contohnya, pengkususan kerja yang dijalankan dalam setiap tamadun memberi impak yang sangat besar seperti kemajuan dalam senibina, kemajuan dalam pentadbiran dan lain lain.
Ia juga dapat membina dan memperkukuh hubungan sesama manusia melalui sistem jual beli dan sistem pembahagian kerja.

Bagaimana anda dapat hubungkan usaha bina tamadun dengan hakikat keberhutangan diri manusia
Dalam kehidupan manusia di dunia ini, sememangnya tidak dapat disangkal terhadap perhubungan antara keberhutangan diri manusia kepada pencipta-Nya dengan pembinaan tamadun. Makna sebenar keberhutangan diri manusia kepada Allah ialah kewujudan serta kelahiran manusia sejak di alam roh lagi telah menjadi permulaan kepada perjanjian kesetiaan kepada Allah dan telah menjadikan kita terhutang dengan kenikmatan-Nya. Oleh itu, perkaitan di antara pembinaan tamadun dengan keberhutangan diri manusia dapat diukur dengan melihat dari aspek kemajuan tamadun yang dilengkapi dengan pelbagai unsur kerohanian serta kebijaksanaan pengurusan pentadbiran selari dengan sifat manusia akibat daripada keberhutangan manusia terhadap Allah SWT.


Apa kaitan kecemerlangan yang dicapai oleh manusia lampau dengan perjalanan manusia ini ?
Masyarakat lampau telah memberi banyak sumbangan kepada masyarakat pada zaman moden dalam pelbagai aspek:
1) Seni bina
- Pembinaan piramid pada masyarakat Mesir Purba membuktikan kemajuan teknik dan ciri-ciri pembinaan bangunan mereka sekaligus  telah memberi inspirasi dan panduan kepada masyarakat zaman moden untuk berkembang maju dalam membina bangunan-bangunan pencakar langit menggunakan ilmu sains, matematik, fizik dan geometri. Contohnya KLCC yang terletak di Malaysia.
2) Perubatan
- Proses mengawet mayat yang telah wujud dalam sejarah tamadun lampau adalah salah satu kemajuan bidang perubatan dan masih lagi diguna pada hari ini. Tahap keilmuan dan kemahiran yang tinggi terutamanya dalam bidang fizik, kimia, perubatan, dan pembedahan membuktikan bahawa tamadun terdahulu memberikan sumbangan besar kepada perkembangan ilmu hingga ke hari ini.
3 ) Politik dan Perundangan
-Sistem pemerintahan demokrasi berparlimen yang diperkenalkan sejak tamadun Yunani dan diwarisi oleh Athens walaupun terdapat sedikit perbezaan seperti wujudnya mahkamah undang-undang berjuri,Majlis dan Dewan Perhimpunan digunapakai oleh kerajaan Malaysia pada hari ini.
4) Sains dan teknologi
-Ahli matematik India telah mengetahui tentang konsep geometri - mendorongnya memperkenalkan sistem nombor (angka Brahmin dan angka Kharosti) yang mencecah ke angka perpuluhan yang mana masih digunakan sehingga kini.
-Pengetahuan dalam bidang astronomi pula dapat dipetik daripada Rig Veda. Pengetahuan yang diperolehi ini adalah salah satu faktor membawa kejayaan kepada angkasawan yang berjaya mendarat dan meneroka di bulan.


Apa kaitan asal-usul manusia,tamadun dan kekuasaan Allah.
Semua manusia berasal dari keturunan Nabi Adam dan Hawa yang telah diciptakan oleh Allah s.w.t dari tanah.manusia diciptakan oleh Allah s.w.t untuk mentadbir bumi dan telah diberikan akal untuk berfikir dan pengetahuan yang luas tentang cara untuk mentadbir alam sebagai khalifah-Nya. Manusia pada zaman purba telah berjaya menggunakan akal dan pengetahuan yang dikurniakan oleh Allah tersebut serta sumber-sumber yang ada di bumi untuk membangunkan tamadun gemilang yang banyak memberikan sumbangan kepada perkembangan manusia. umumnya, tanpa akal yang dikurniakan Allah kepada manusia, mereka tidak akan dapat untuk mentadbir dan melaksanakan urusan kehidupan dengan begitu sempurna dan teratur .

No comments:

Post a Comment